Like

Cari Blog Ini

Renungan Bersama

"Sekiranya kamu ingin melihat masa depan sesuatu bangsa, Maka lihatlah generasi mudanya... "

- Imam Al-Ghazali -

Selasa, 24 Januari 2012

AWASI LIDAH






Sejak akhir2 ini, amalan fitnah memfitnah, tuduh menuduh, sindir menyindir, menyebarkan khabar angin, e-mel layang atau berita palsu, perkataan lucah, mendedahkan keburukan orang lain, berprasangka buruk semakin menjalar dan membarah dalam masyarakat Islam. Umat Islam dituntut pelihara pertuturan bagi mengelak perpecahan akibat fitnah.

Semua amalan itu secara umumnya datang daripada lidah yang tidak bertulang. Namun lidah boleh menjadi lebih berbahaya daripada mata pedang yang terhunus hingga memungkinkan akibat dan implikasi buruk kepada umat manusia seluruhnya.

Oleh itu, Islam dari awal lagi sudah memperingatkan umat Islam akan bahaya penyalahgunaan nikmat lidah yang dianugerahi Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.
(Surah al-Baqarah, ayat 217)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

“Kebanyakan dosa anak Adam adalah kerana lidahnya.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Walaupun lidah adalah satu anggota tubuh badan manusia yang kecil menghiasi kesempurnaan kejadian makhluk Allah, lidah mempunyai peranan besar dalam kehidupan manusia.

Kita mungkin pernah mendengar ungkapan-ungkapan seperti "lidah tidak bertulang" atau lidah itu lebih tajam daripada pedang. Daripada ungkapan-ungkapan itu nyatalah tugas lidah atau tutur kata amat besar dalam hidup manusia. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan kerana mulut atau tutur kata juga menjadikan badan binasa.

Lidah jugalah yang boleh menyebabkan manusia itu terjerumus ke dalam api neraka. Oleh kerana lidah boleh membawa kepada perkara yang baik dan buruk, maka kita hendaklah berhati-hati dalam menggunakan lidah. Dalam hubungan lain, kita hendaklah berhati-hati apabila bertutur. Kesan tersalah cakap boleh membawa sakit hati kepada orang lain. Tidak kurang pula yang membawa kesusahan dan kerugian. Oleh itu, sebaik-baik cara mengawal diri daripada perkara-perkara yang tidak diingini ialah dengan diam.

Diam dalam erti kata tidak bercakap dalam perkara yang sia- sia dan tidak baik. Sehubungan dengan ini Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud. "Manusia itu ada tiga macam (jenis). Pertama: Yang mendapat pahala. Kedua: Yang selamat daripada dosa. Ketiga: Yang binasa.

Orang yang mendapat pahala ialah orang yang sentiasa mengingati Allah, berzikir dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa ialah orang yang sentiasa melakukan perkara-perkara maksiat."

Menyedari akan kedudukan lidah yang penting, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Ketika seseorang memasuki pagi yang hening, seluruh anggota tubuhnya akan berlutut merayu kepada lidah seraya berkata: Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah kerana kami sangat bergantung kepada engkau. Apabila engkau beristiqamah, kami pun akan turut sama beristiqamah. Sebaliknya jika engkau menyimpang dari jalan yang benar, kami pun turut menyimpang.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Maksudnya, lidah umpama pisau bermata dua. Ia boleh hadir sebagai rahmat kepada manusia di kala ungkapan ucapannya terselit unsur nasihat dan ketaatan kepada Allah dan pada masa sama boleh membawa kepedihan di kala lisannya mendedahkan belang yang tersembunyi.

Oleh itu, setiap Muslim hendaklah sentiasa berwaspada ketika bercakap dan bertutur dengan saudaranya yang lain, juga memelihara lidah daripada melakukan perbuatan tercela lagi dilarang Allah.

Allah memerintahkan umat Islam supaya menapis dan menyaring terlebih dulu sebarang khabar berita atau fitnah yang tersebar seperti surat layang supaya tidak terperangkap dengan jerangkap dosa yang merugikan.

Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa satu berita, maka hendaklah kamu selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menjadikan kamu menyesali terhadap apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Hujurat, ayat 6).

Sesama lah kita menjaga lidah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MASALAH KAMPUNG KITA - Siapa yang patut dipersalahkan

TV Al-Quran

TvQuran

Catatan Popular